www


widgeo.net

APA YANG MENARIK?

Wednesday, June 1, 2011

TAHUKAH ANDA? HARI SUSU SEDUNIA DISAMBUT 1st JUN SETIAP TAHUN


Rakyat Malaysia bersama dengan negara-negara di seluruh dunia menyambut Hari Susu Sedunia yang diadakan pada setiap 1 Jun sebagai dedikasi khas terhadap kepentingan susu.  Kajian  yang dilakukan menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia hanya meminum susu sekali dalam tempoh dua minggu atau sebulan.

Negara-negara di seluruh dunia telah menyambut Hari Susu Sedunia pada 1 Jun yang ditetapkan oleh Organisasi Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) sejak tahun 2001 lagi. Ini memberi peluang kepada masyarakat seluruh dunia untuk menumpukan perhatian mereka kepada susu dan menghebahkan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan susu dan industri susu. Pilihan negara-negara di dunia untuk menyambutnya pada hari yang sama telah menambah kepentingan sambutannya di sesebuah negara dan menunjukkan bahawa susu adalah makanan sedunia.

Sedikit fakta dan maklumat tentang khasiat susu :
Apa yang anda tahu tentang DHA?

DHA telah menjadi komponen pemakanan yang utama oleh kerana peranan pentingnya dalam perkembangan otak dan penglihatan bayi dan kanak-kanak kecil. 


Dokosaheksanoik atau singkatannya DHA adalah sejenis nutrien daripada keluarga asid lemak omega-3. Sebahagian besar DHA boleh didapati di dalam otak. Oleh itu, ia menjadi nutrien yang sangat penting untuk si manja anda. 60% daripada otak manusia terdiri daripada lemak. 25% daripada lemak tersebut adalah DHA. Kajian mendapati bahawa DHA membantu di dalam penghantaran maklumat di dalam otak.


DHA boleh didapati di dalam ikan berminyak seperti salmon, tenggiri, herring dan tuna. Selain daripada itu, minyak ikan juga mengandungi beberapa peratus DHA. Sekiranya si manja tidak makan ikan yang secukupnya, pengambilan DHA boleh ditambah dengan meminum Susu. Ia sangat penting bagi mengelakkan pengurangan tahap DHA di dalam badan kanak-kanak.

Apa itu nukleotida?


Seseorang bayi dilahirkan dengan sistem imun badan yang belum matang dan mudah terkena jangkitan. Susu ibu mempunyai berbagai unsur yang dapat merangsang sistem pelalian semulajadinya. Nukleotida adalah sebatian penting dalam unsur ini. Bayi dan kanak-kanak memerlukan nukleotida, terutamanya semasa sakit apabila penyerapan nutrian terjejas sewaktu tempoh tumbesaran pesat.


Nukleotida adalah asas pembinaan DNA dan RNA yang merangsang tumbesaran menyeluruh. Ia membantu tumbesaran dan perkembangan usus dengan menyokong perkembangan sel usus merangsang pertumbuhan dan pemulihan tisu usus. Ia mempunyai kesan positif terhadap mikro flora baik usus, sekaligus menggalakkan fungsi usus yang sihat dan memberikan faedah-faedah berikut:

    • Penyerapan nutrien yang cekap
    • Pembuangan najis yang lembut dan tetap
    Pengurangan keaktifan bakteria penyebab penyakit

    Nukleotida menyokong sistem imun. Ia memulakan dan mengawal perkembangan sel T, dan bertindak sebagai pertahanan semulajadi menentang bakteria dan virus.

    "SUSU" dan "KALSIUM" : Dua perkara yang tidak harus diketepikan!


    Ramai yang tersalah anggap susu dan kandungan kalsiumnya yang tinggi hanya penting untuk kanak-kanak yang sedang membesar sahaja. Pada hakikatnya, semua orang memerlukan kalsium dan juga nutrien berkhasiat lain yang boleh didapati daripada segelas susu. Kalsium bersama dengan protein, vitamin D, fosforus dan magnesium membantu membina tulang dan gigi yang kuat bagi kanak-kanak dan juga orang dewasa. 

    Diet kalsium yang mencukupi adalah penting terutama untuk wanita pada semua peringkat umur memandangkan badan mereka lebih mudah kehilangan kalsium berbanding kaum lelaki. Risiko menghidapi penyakit osteoporosis (penyakit tulang rapuh) bagi wanita dapat dikurangkan pada kemudian hari jika pengambilan susu dan makanan lain yang tinggi kandungan kalsiumnya dipraktikkan sejak awal lagi. Osteoporosis ialah masalah kehilangan jisim tulang yang boleh meningkatkan risiko tulang retak. Penyebab utama osteoporosis adalah pengambilan kalsium yang tidak mencukupi. Secara idealnya, pencegahan osteoporosis patut dimulakan dari zaman kanak-kanak lagi.

    Susu bukanlah untuk kanak-kanak sahaja. Kandungan kalsiumnya yang tinggi membuatkannya sumber makanan yang bernilai untuk orang dewasa juga, dan penting sekali apabila usia meningkat.

    Kanak-kanak berumur antara satu hingga sepuluh tahun memerlukan sekurang-kurangnya dua kali ganda kalsium berbanding orang dewasa supaya tubuh mereka dapat menampung keperluan jisim tulang yang tinggi apabila dewasa kelak. Pengambilan diet kalsium yang mencukupi sepanjang tempoh tumbesaran akan menolong memaksimumkan kandungan kalsium dan ketumpatan tulang. Kalsium juga penting untuk fungsi utama tubuh badan seperti konduksi saraf, pengawalan denyutan jantung, pengecutan otot serta untuk penyembuhan luka. 

    Diet harian rakyat Malaysia banyak mengandungi sumber kalsium yang lazat. Beberapa jenis makanan lazat yang dapat memastikan keluarga anda menerima kalsium secukupnya ialah :

    • Ikan bertulang lembut seperti ikan sardin dan ikan bilis
    • Kekacang dan produk kekacang seperti tauhu, fucuk dan tempe
    • Sayur-sayuran berdaun hijau gelap seperti bayam dan kailan
    • Buah-buahan kering seperti kismis, kurma, buah prun dan aprikot

    Susu adalah antara sumber kalsium yang terbaik dan pengambilan makanan yang kaya dengan kalsium sahaja tidak mencukupi. Kalsium yang diambil mestilah mudah diserap oleh badan. Satu contoh kalsium yang mudah diserap ialah kalsoium dari susu. Dua gelas susu sehari memastikan bahawa keperluan kalsium harian anak anda dipenuhi. Sambil memastikan anak anda mendapat khasiat hariannya yang penting, anda harus juga mencapai segelas susu untuk diri anda sendiri dan alamilah khasiat kalsium tersebut! 

    sumber : dutch lady

No comments:

Post a Comment